LABUAN – Jumlah kes dadah di Labuan menurun 32 peratus tahun lepas berikutan usaha pengumpulan maklumat dan operasi antidadah yang agresif, kata polis.
Ketua Polis Labuan Supt Adzhar Othman berkata perkembangan ini juga atas kerjasama orang ramai yang prihatin dengan persekitaran kawasan kediaman mereka.
Jabatan Siasatan Jenayah dan Narkotik Labuan akan meneruskan usaha seperti ini bagi membanteras kegiatan haram itu, katanya kepada Bernama.
Katanya 340 orang ditangkap atas kesalahan dadah tahun lepas dengan 135 daripadanya rakyat asing.
Adzhar berkata berdasarkan usaha pengumpulan maklumat, polis mengenal pasti tiga kawasan yang menjadi sarang kegiatan dadah yang kebanyakannya menjadi tumpuan rakyat asing.
“Melihat kepada jumlah penduduk pulau ini sebanyak 95,600 orang, kami hanya menangkap 361 orang atau 0.37 peratus daripada kes dadah, yang secara relatifnya adalah kecil dan masih terkawal,” katanya.
Katanya trend menyeludup dadah ke pulau ini adalah melalui perkhidmatan kurier, lapangan terbang dan terminal feri. – BERNAMA