IPOH – Sebanyak 6,613 kilogram (kg) minyak masak yang diisi dalam 389 tong terpakai bernilai RM25,856 dirampas dalam satu serbuan di sebuah premis pembungkusan di Kawasan Perindustrian Kampung Boyan dekat Taiping semalam.
Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak Suhaimi Mat Sari berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 61 tahun iaitu pengarah syarikat berkenaan dalam serbuan kira-kira pukul 8.30 pagi.
“Premis yang beroperasi lebih 60 tahun itu diserbu selepas menerima aduan daripada orang awam,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini hari ini.
Katanya, setiap satu tong yang mengandungi 17kg minyak masak itu disita dan sampel tong tersebut akan dihantar kepada Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu melanggar syarat lesen yang ditetapkan dan syarikat berkenaan boleh dikenakan denda maksimum RM2 juta, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, beliau menggesa syarikat pembungkus minyak tidak mengambil jalan mudah dengan menggunakan tong minyak terpakai demi mengaut keuntungan kerana ia tidak bersih dan boleh menjejaskan kesihatan orang ramai.
“Kos untuk membeli tong baharu yang agak tinggi mungkin menyebabkan mereka menggunakan tong terpakai bagi mendapat keuntungan yang lebih,” katanya.
Mengenai Skim Kawalan Harga Tahun Baharu Cina, Suhaimi berkata pihaknya akan menguatkuasakan harga kawalan bagi 13 jenis barangan bermula 23 Jan hingga 3 Feb ini.
“Skim ini dilaksanakan bagi memastikan rakyat dapat membeli barangan keperluan khususnya untuk musim perayaan pada harga berpatutan,” katanya. – BERNAMA