KUALA LUMPUR – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengkaji keperluan menambah jumlah motosikal berkuasa tinggi kepada pasukan beruniform seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat sekiranya terdapat keperluan.
Timbalan Menterinya Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata penggunaan motosikal berkuasa tinggi memainkan peranan penting kepada agensi kerajaan untuk tugas-tugas penguatkuasaan dan menyelamat.
Sebagai contoh beliau berkata di Kuala Lumpur dan Selangor, sebanyak 27 motosikal berkuasa tinggi telah digunakan anggota bomba bagi tujuan menyelamat.
“Bomba telah menggunakan motosikal berkuasa tinggi ini sejak dari tahun 2003 di bawah program ‘Rapid Intervention Motorcycle’.
Penggunaan motosikal berkuasa tinggi ini memudahkan anggota unit keselamatan untuk tiba di lokasi kecemasan dengan pantas dan melaksanakan tugas-tugas awal misi menyelamat dan kecemasan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam serta pelancaran model baharu motosikal berkuasa tinggi Kawasaki di sini, malam ini.
Pada majlis pelancaran itu, Kawasaki memperkenalkan tiga model baharu motosikal berkuasa tinggi iaitu Kawasaki Z900, Z650, Ninja 650 dan model Versys-X 250. – BERNAMA