KLIP video seorang lelaki diselamatkan anggota bomba selepas terjatuh ke dalam saliran tandas di utara China tersebar di laman sesawang.
Difahamkan kejadian malang itu berlaku di Hohhot, Inner Mongolia.
Mangsa lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu dipercayai mabuk dan ditemui tidak sedarkan diri di dalam ruang tandas itu sebelum diselamatkan dan dihantar ke hospital di bandar tersebut.
Video kerja-kerja menyelamatkan mangsa dimuat naik oleh laman sesawang tempatan Ylread memaparkan sepasukan bomba yang terdiri daripada tujuh anggota memasuki tempat kejadian untuk mencari mangsa.
Difahamkan ruang tandas yang tidak dilengkapi dengan lampu dan keadaannya yang sempit menyebabkan anggota bomba terpaksa memakai topeng dan menggunakan lampu di kepala serta tali untuk proses menyelamat tersebut.
Akibat mangsa yang dalam keadaan tidak sedarkan diri, anggota bomba terpaksa mengikat tali pada badan dan menariknya keluar dari ruang sempit tersebut.
Mangsa berjaya diselamatkan dengan keseluruhannya badannya diliputi najis.
Proses menyelamat itu dikhabarkan mengambil masa selama satu jam.
Tidak dapat dipastikan sama ada mangsa turut mengalami kecederaan lain kerana ianya tidak dinyatakan. Â –MYNEWSHUB.CC