AKIBAT mabuk, seorang lelaki China telah menyebabkan dirinya terperangkap di dalam sebuah tiang elektrik sepanjang 65 kaki yang diletakkan di tepi jalan bandar Qingyang, wilayah Gansu pada Sabtu lalu.
Menurut laman People’s Daily Online, pihak anggota bomba berjaya menarik keluar mangsa setelah memotong sebahagian daripada tiang elektrik tersebut dan mengikat tali padanya.
Tiang elektrik yang mempunyai diameter berukuran 2 kaki 7 inci pada bahagian bawah (tapak) manakala 1 kaki 11 inci pada bahagian hujungnya dibiarkan di tepi jalan sebelum didirikan.
Difahamkan mangsa yang tidak didedahkan identitinya itu dipercayai mabuk dan telah memasuki ke dalam tiang elektrik itu menerusi bahagian tapak sebelum tersekat di bahagian yang lebih sempit.
Tidak dapat dipastikan berapa lama ianya tersekat di dalam tiang tersebut namun laporan mendakwa mangsa dalam keadaan sesak nafas sebaik sahaja anggota bomba tiba di tempat kejadian.
Di dalam video berdurasi 53 saat yang dimuat naik CCTV+ itu memaparkan usaha-usaha menyelamat mangsa daripada anggota bomba.
Menurut seorang saksi, anggota bomba terpaksa menyalurkan oksigen kepada mangsa untuk menstabilkannya kemudian barulah memotong penutup tiang tersebut menggunakan alat pemotong besi.
Salah seorang daripada anggota bomba yang memiliki saiz badan yang kecil memasuki lubang tiang elektrik itu menerusi hujung yang sempit dan mengikat tali ke badan mangsa sebelum ditarik keluar.
Mangsa segera dihantar ke hospital setelah diselamatkan untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan yang mengancam nyawa namun ditahan di hospital untuk pemerhatian lanjut. – MYNEWSHUB.CC