JIJIK dan kotor. Gambar sebuah lori yang dipenuhi bangkai ayam menjadi tular di media sosial selepas dipercayai dijual kepada pemilik restoran makanan di satu tempat yang tidak diketahui.
Penularan gambar tersebut memaparkan bangkai ayam yang terdedah tanpa bekas dan sebarang penutup dalam sebuah lori di hadapan sebuah stesen minyak.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan lokasi lori tersebut berada dan berdasarkan nombor pendaftaran dipercayai lori tersebut dari Pulau Pinang.
Menerusi perkongsian di laman Facebook dengan kapsyen “kepada pihak berwajib, tolong periksa betul ke citer nie. Lori ni bawa ayam yang telah mati,” tulisnya.
Netizen mendakwa, ayam tersebut dipercayai dijual secara lelong dengan harga RM2.00 seekor serta menamakan sebuah restoran yang menjual nasi ayam sering membeli ayam tersebut.
“Cer tengok tengokkan sikit area mana tu, tak patut betul nie,” tulisnya.
Difahamkan, kejadian tersebut bukan kali pertama berlaku kerana bangkai ayam sering dibawa dalam keadaan terdedah namun sehingga kini tiada maklumat sahih dapat mengesahkan perkara berkenaan.
Perkongsian gambar itu jelas menimbulkan pertanyaan netizen yang mahukan pihak berkuasa menjalankan siasatan supaya tindakan sewajarnya dapat dilakukan. – MYNEWSHUB.CC