PELAKON Nabila Huda tidak menyangka makanan laut kegemarannya, udang bakal menyebabkan dia mengalami alahan teruk sehingga perlu menerima rawatan di hospital, baru-baru ini.
Akibat alahan teruk itu, Nabila memberitahu, muka dan seluruh badannya mengalami kegatalan serta dinaiki bintik-bintik merah.
Menurutnya, dia tidak pernah mengalami alahan seperti itu sebelum ini sekiranya menjamah udang.
Namun setelah pemeriksaan hospital, barulah dia faham kerana doktor memaklumkan makanan laut yang diambilnya itu kemungkinan telah diawet dengan bahan kimia.
“Saya cuma makan udang yang dibeli dan dimasak sendiri. Selepas mengalami alahan teruk Sabtu lalu, saya bergegas ke hospital dan doktor memaklumkan bahawa udang yang saya beli itu diawet dengan bahan kimia supaya tahan lama.
“Seluruh badan saya dipenuhi bintik-bintik merah, tetapi mujurlah bahagian muka tidak terlalu teruk. Sebelum ini, saya memang selalu makan udang kerana ia makanan laut kegemaran saya dan tak pernah pula alami perkara sebegini.
“Sekarang saya bergantung kepada ubat yang diberikan doktor. Ubat itu membuatkan saya mengantuk dan sedikit-sebanyak mengurangkan rasa gatal apabila saya terlelap,” katanya kepada Harian Metro.
Jelas Nabila dia kini berehat di kediaman keluarga suaminya dan dijaga ibu mentuanya. – MYNEWSHUB.CC