KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 8,640 orang daripada 2,808 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 6,110 orang daripada 1,950 orang malam tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Zainuddin Hussin berkata jajahan Pasir Mas mempunyai mangsa paling ramai iaitu 4,545 orang daripada 1,790 keluarga yang ditempatkan di 27 pusat pemindahan.
Seramai 1,451 orang (350 keluarga) ditempatkan di 11 pusat pemindahan di Kuala Krai, 926 orang (235 keluarga) di 11 pusat pemindahan di Machang, 682 orang (170 keluarga) di enam pusat pemindahan di Kota Bharu dan 638 orang (156 keluarga) di 17 pusat pemindahan di Tanah Merah.
Sebanyak 107 orang (27 keluarga) ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Bachok, 217 orang (58 keluarga) di empat pusat pemindahan di Pasir Puteh, 45 orang (11 keluarga) di sebuah pusat pemindahan di Tumpat dan 29 orang (11 keluarga) di sebuah pusat pemindahan di Jeli, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Zainuddin berkata hujan kadangkala lebat yang masih berterusan selain air sungai dari kawasan hulu mengalir ke hilir, dijangka akan meningkatkan lagi jumlah penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan terutama di Pasir Mas.
Dalam pada itu, paras air di dua sungai utama di Kelantan menurun namun masih melepasi paras bahaya setakat 8 pagi ini, menurut laman sesawang kerajaan negeri di http://ebanjir.kelantan.gov.my.
Dua sungai yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Kelantan dengan bacaan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah 17.65 meter (m) berbanding 17.96m malam tadi (paras bahaya 16m) manakala paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang 10.39m berbanding 10.45m malam tadi (paras bahaya 9m).
Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai juga mencatatkan penurunan pada paras 22.84m berbanding 23.79m malam tadi (paras bahaya 25m).
Paras air Sungai Lebir di Tualang, Gua Musang pula susut kepada 29.67m berbanding 31.99m malam tadi (paras bahaya 35m) dan Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai pula surut kepada 32.26m berbanding 33.73m malam tadi (paras bahaya 38m). – BERNAMA