KUANTAN – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Pahang berkurangan kepada 4,122 orang pagi ini berbanding 4,344 orang malam tadi.
Mereka yang terdiri daripada 1,115 keluarga itu melibatkan mangsa banjir di daerah Temerloh, Pekan, Maran, Bera dan Rompin.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Zainal Yusoff berkata Temerloh masih mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 1,423 orang daripada 363 keluarga.
Pekan pula merekodkan 1,116 orang (309 keluarga), Maran 1,055 orang (314 keluarga), Bera 490 orang (116 keluarga) dan Rompin 38 orang (13 keluarga).
“Sebanyak 65 pusat pusat pemindahan sementara masih beroperasi iaitu 20 di Maran, Pekan (17), Bera (14), Temerloh (13) dan satu di Rompin,” katanya ketika dihubungi hari ini. – BERNAMA