KUANTAN – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Pahang turun kepada 3,162 orang daripada 883 keluarga pada tengah hari ini berbanding 4,122 daripada 1,115 keluarga pagi tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Zainal Yusoff berkata daripada jumlah itu Pekan mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 1,116 orang daripada 309 keluarga.
“Maran pula merekodkan 1,055 orang (314 keluarga), Temerloh 515 orang (140 keluarga), Bera 438 orang (107 keluarga) dan Rompin 38 orang (13 keluarga),” katanya.
Sebanyak 59 pusat pemindahan sementara masih beroperasi iaitu 20 di Maran, Pekan (17), Bera (12), Temerloh (sembilan) dan satu di Rompin. – BERNAMA