GEORGE TOWN – Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam beberapa kes samun kedai serbaneka di sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS), dekat sini ditahan awal hari ini.
Ketua Polis Daerah SPS Supt Shafee Abdul Samad berkata lelaki berusia 25 tahun itu ditahan pada pukul 2 pagi di Bukit Mertajam, kira-kira 10 jam selepas dia dilapor menyamun sebuah kedai serbaneka di Bandar Tasek Mutiara, dekat sini.
Susulan penahanan lelaki yang bekerja sebagai mekanik itu, polis merampas pelbagai pisau yang disyaki digunakan dalam kegiatan samun, motosikal dan sejumlah wang tunai, katanya di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki terbabit positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau dan dia dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 10 kes samun kedai serbaneka. – BERNAMA