SEORANG wanita menerusi laman Facebooknya meminta bantuan rakyat Malaysia memaklumkan kepadanya sekiranya ada terlihat kereta miliknya jenis Honda dengan nombor plat VG 2956.
Ini berikutan, wanita yang dikenali sebagai Nita Mohd. Noor mendakwa kereta miliknya hilang selepas suaminya mengalami kemalangan berdekatan susur keluar plaza tol Universiti Putra Malaysia (UPM) menghala ke Uniten, Bangi.
Menurutnya, suaminya mengalami kemalangan ketika memandu berseorangan dan telah dihantar ke Hospital Serdang menggunakan perkhidmatan ambulans.
Oleh itu, dia telah pergi ke lokasi kemalangan tersebut berlaku namun mendapati keretanya sudah tiada.
Jelasnya juga, hingga kini tiada panggilan telefon diterima dari mana-mana pihak penunda sekiranya telah menunda kereta itu.
Postingnya itu lantas mendapat perhatian netizen yang bersimpati dengan nasibnya dan mendoakan agar kereta tersebut dapat ditemui segera.
Pada masa yang sama, ada beberapa netizen percaya kereta itu mungkin telah ditunda ke balai polis berdekatan berdasarkan pengalaman mereka. – MYNEWSHUB.CC