SALAH satu aspek penting yang perlu ditimbal balik oleh seseorang yang mahu menjalani kehidupan selepas bersara di luar negara adalah perubatan berkualiti.
Persoalannya, adakah negara lain mempunyai rawatan kesihatan yang bertaraf tinggi seperti yang terdapat di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada? Jawapannya, ya!
Malah, harga dan perkhidmatan yang ditawarkan adakalanya lebih baik daripada apa yang terdapat di kedua-dua negara rantau Amerika Utara tersebut.
Oleh itu, tidak hairanlah mengapa negara-negara ini menjadi pilihan utama warga asing untuk menikmati kualiti hidup yang baik selepas bersara.
Berikut merupakan senarai empat negara dengan pelan kesihatan terbaik yang merangkumi hospital, doktor berkepakaran tinggi dan kos perubatan berpatutan menurut Indeks Persaraan Global International Living 2017.
1. Malaysia: Industri pelancongan perubatan yang sedang pesat
Dengan mata wang dolar AS yang semakin kukuh, tiket penerbangan lebih murah, kos perubatan di Barat yang meningkat dan senarai menunggu yang panjang telah menyumbang kepada kepesatan industri pelancongan perubatan di Malaysia pada dekad terakhir ini.
Bilangan pelancong perubatan di negara ini telah meningkat kepada 100% dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
George Town dan Kuala Lumpur merupakan dua pusat perubatan di Malaysia dan kedua-dua tempat ini menyediakan banyak perkhidmatan penerbangan antarabangsa.
Selain itu, negara itu juga mempunyai ramai doktor pakar terbaik di Asia dan majoriti daripada mereka telah terlatih di AS, Australia atau di UK, di samping berkebolehan untuk bertutur dengan baik dalam bahasa Inggeris.
2. Costa Rica: Perubatan kos rendah yang berkualiti
Lebih daripada 40,000 rakyat AS sanggup terbang ke Costa Rica setiap tahun untuk mendapatkan rawatan perubatan dan pergigian yang murah dan berkualiti.
Oleh itu, ramai ekspatriat yang berupaya untuk memanfaatkan kelebihan ini sepanjang tahun. dengan hanya perlu membayar separuh daripada nilai rawatan di negara asal mereka untuk konsultasi dengan doktor, pembedahan, preskripsi dan perkhidmatan lain.
Terdapat dua sistem perubatan di negara ini yang boleh dimanfaatkan oleh ekspatriat, iaitu Caja Costarricense de Seguro Social atau Caja yang disediakan kerajaan.
Sistem yang digunakan untuk mendapatkan Caja ini juga amat mudah. anda hanya perlu membayar kadar bulanan sebanyal 6% hingga 12% berdasarkan tangga gaji yang telah direkodkan di dalam permohonan residensi.
Kos ini turut meliputi perubatan bagi suami atau isteri, di mana setiap pasangan hanya dikenakan bayaran AS$75 hingga AS$150 sahaja.
Selepas kadar ini dibayar, anda layak untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital kerajaan Costa Rica termasuk konsultasi doktor pakar, ujian diagnostik, preskripsi, pembedahan dan sebagainya.
Sistem kedua yang ditawarkan adalah perubatan di hospital swasta yang 1/4 lebih murah berbanding di AS dan Kanada. Bagaimanapun, hospital terbaik di negara ini hanya terdapat di ibu negaranya sahaja iaitu San Jose.
3. Colombia: Kesihatan amat dititikberatkan
Perubatan di Colombia berkualiti tinggi dan berpatutan. World Health Organization (WHO) meletakkan sistem kesihatan Colombia di tangga ke-22 di antara 191 buah negara.
Ia lebih baik daripada Kanada yang jatuh di tangga ke-30 dan AS di tangga ke-37. Terdapat banyak hospital dan klinik yang bagus di negara itu yang menawarkan perkhidmatan perubatan awam dan juga swasta.
Malah, separuh daripada 43 hospital terbaik di Amerika Latin terdapat di Colombia (22 daripada 43) dan hospital-hospital di bandar besar seperti Bogota, Medellin dan Bucaramanga telah diperakui oleh akreditasi Joint Commission International.
4. Mexico: Perubatan berkualiti tinggi dengan kos murahÂ
Dengan harga yang jauh lebih murah, tidak hairanlah mengapa ribuan warga AS masuk ke Mexico setiap tahun untuk mendapatkan rawatan kesihatan dan pergigian.
Kemudahan yang disediakan adalah di antara yang terbaik di dunia dan doktor yang merawat pesakit juga adalah daripada kalangan yang telah menerima latihan formal di AS, Kanada atau Eropah.
Oleh itu, mendapatkan pembedahan dan rawatan untuk penyakit serius di negara ini tidak menjadi masalah. Mexico turut menyediakan dua sistem perubatan iaitu kerajaan dan juga swasta.
Namun, ramai pesara daripada luar negara memilih untuk mendapatkan rawatan pakar di hospital swasta yang jauh lebih murah jika dibandingkan dengan di AS.
Antara bandar-bandar yang menjadi destinasi terbaik pelancongan perubatan di Mexico adalah Lake Chapala dan San Miguel de Allende. – MYNEWSHUB.CC