KECOH di media sosial apabila sekeping surat mendakwa seorang wanita warga emas aktif menjalankan kegiatan jenayah culik dengan cara pukau di sebuah pusat beli belah di Kuala Lumpur.
Dalam surat itu menasihatkan pengunjung pasaraya untuk menjaga keselamatan anak mereka kerana kononnya berlaku kes penculikan secara pukau oleh seorang wanita tua berbangsa Cina.
Gambar mesej tersebut tersebar di media sosial yang mendakwa wanita tersebut akan menegur dengan menyatakan ‘comelnya anak awak’ sebelum menarik kanak-kanak itu dan dibawa lari.
Menerusi perkongsian Anie Yanie Binti Suratman di laman Facebook, dia mendakwa berlaku kejadian di Taman Desa apabila seorang wanita ditegur oleh wanita tua itu tetapi dia sempat menghubungi suaminya kerana mengetahui modus operandi wanita tersebut.
“Nyonya itu terus melarikan diri selepas taktiknya diketahui, nasib baik perempuan kena pukau itu selamat, dia cuma pening dan pengsan selepas suaminya sampai.
“Nyonya tua ni jual organ, kalau nampak, sila tarik anak-anak dan terus keluar, jangan pandang muka atau jawab apa-apa,” tulisnya.
Bagaimanapun, media berbahasa Cina menafikan kejadian tersebut dan menjelaskan wanita warga emas itu bukanlah penculik seperti yang disebarkan dalam media sosial.
Wanita tersebut adalah pengunjung tetap pusat beli belah di Kelana Jaya itu dan disifatkan seorang yang peramah.
Sejak Sabtu lalu, kecoh di media sosial berhubung kejadian pukau dan culik didalangi seorang nenek di pusat beli belah yang kononnya akan menghampiri orang ramai dengan bercakap sehingga mereka berasa tidak selesa dan pening.
Dalam mesej tersebut mendakwa kejadian yang sama berlaku di Cheras, Taman Desa, Damansara Perdana dan Paradigm Mall.
Walaupun mesej tersebut mungkin dianggap palsu, namun netizen tetap menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati dan sentiasa menjaga anak-anak ketika berada di pusat beli belah. – MYNEWSHUB.CC