PASIR PUTEH – Sekumpulan 15 guru yang tidak dapat ke Pulau Perhentian di Besut untuk mengajar sejak Ahad lalu akibat ombak besar dihantar dengan kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Pengarah APMM Daerah Maritim 10 Tok Bali, Kapten Nurul Hizam Zakaria berkata guru berkenaan bersama keluarga mereka dihantar dengan KM Segantang dari Pangkalan Tok Bali tengah hari tadi.
“Perjalanan ke pulau itu mengambil masa sejam 30 minit,” katanya.
Mereka adalah dari Pasir Puteh, Kelantan dan Besut, Terengganu yang pulang ke kampung mereka semasa musim cuti persekolahan akhir tahun lalu.
Nurul Hizam berkata kini keadaan Laut China Selatan adalah berbahaya terutama kepada bot kecil susulan ombak setinggi antara tiga hingga 3.5 meter dan angin bertiup kencang.
Sementara itu Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Rosdi Mohd Amin berkata lebih 100 murid di pulau itu meneruskan sesi persekolahan seperti biasa walaupun dengan ketiadaan sebilangan besar guru. – BERNAMA