Friday, October 25, 2024

Creating liberating content

Yuna Calon E! People’s...

KUALA LUMPUR - Penyanyi Yuna terus mengukuhkan kedudukannya di persada antarabangsa apabila muncul...

Harga Minyak Jatuh Lagi...

PUTRAJAYA – Harga runcit siling bahan bakar ditetapkan secara mingguan mulai 30 Mac...

Lirik Lagu Kemanusiaan, Mufti...

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin...

Rasuah: Sarjan Polis Dipenjara...

KUALA LUMPUR - Seorang anggota polis dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan didenda...

Panik Harga Cili Cecah RM84 Sekilogram Di Indonesia

JAKARTA – Harga cili di Indonesia naik tinggi selepas sambutan Tahun Baharu 2017 hingga cecah 250,000 rupiah (kira-kira RM84) sekilogram berbanding kebiasaan cuma 20,000 rupiah (RM7).

Akhbar berpengaruh KOMPAS melaporkan, berdasarkan data di Pasar Induk Kramat Jati, Jakarta Timur pada 2 Januari, harga cili terutama jenis popular cabai merah keriting mencapai 38,000 rupiah (RM12.80) sekilogram.

Ia naik sebanyak 5,000 rupiah (RM1.70) berbanding pada 31 Disember tahun lalu manakala harga cabai merah besar pula ialah 21,000 rupiah (RM7), iaitu naik kira-kira 1,000 rupiah (RM0.40) daripada hari sebelumnya.

Dalam masa sama, cabai rawit merah dijual pada 75,000 rupiah (RM25.20) naik 3,000  rupiah (RM1) dan cabai rawit hijau pula mengalami kenaikan tertinggi iaitu 25,000 rupiah (RM8.40) menjadi 62,000 rupiah (RM20.80).

Keadaan lebih buruk turut dilaporkan di beberapa daerah sehingga menyebabkan ramai pengguna ‘geleng kepala’ antaranya cili merah di Kabupaten Nunukan, wilayah Kalimantan Utara, melonjak hingga 140,000 rupiah (RM47).

cili1

Walhal, kebiasaannya ia hanya dijual 60,000 rupiah (RM20) per kilogram. Harga yang lebih pelik turut berlaku di Pasar Induk Segiri Samarinda, wilayah Kalimantan Timur apabila harga cili terus naik sejak Disember tahun lalu.

Harga cabai merah yang pada kelaziman dijual sekitar 30,000 rupiah (RM10) sekilogram tetapi kini naik menjadi 110,000 rupiah (RM37) sedangkan harga cabai rawit tiung pula merekodkan harga 250,000 rupiah (RM84).

Menteri Pertanian Indonesia, Amran Sulaiman namun menyatakan bahawa tahap pengeluaran cili tempatan masih memenuhi keperluan dalam negeri tetapi para petani tidak boleh menuai ekoran musim hujan yang berlarutan.

“Tidak boleh tuai kalau selalu musim hujan. Busuk nanti. Tapi pengeluaran tetap selamat, belum ada lagi import termasuk bawang dan beras,” demikian penjelasan Amran di Kompleks Istana Kepresidenan Indonesia di sini.

Presiden Joko Widodo yang sempat ‘turun padang’ memantau sendiri harga cili di Pasar Kanjen, Pekalongan, Jawa Tengah pada minggu lalu juga merujuk cuaca hujan yang berterusan sebagai faktor kenaikan harga secara besar.

cili2

“Yang namanya harga tergantung penawaran dan permintaan. Susulan musim 2016 lalu memang jelek untuk cabai sehingga banyak yang busuk dan gagal dituai menyebabkan stok bekalannya kurang,” ujar Jokowi kepada media.


Seorang peniaga cili di Pasar Sentral Inhutani Nunukan, yang hanya mahu dikenali sebagai Ase menilai, harga naik kerana kelewatan penghantaran bekalan dari Sulawesi selepas hari tahun baharu selain musim hujan di wilayah itu.

Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Indonesia, Enggartiasto Lukita mengarahkan supaya stok cili di daerah yang bekalannya dianggap sebagai berlebihan agar segera diagihkan kepada daerah yang didapati kekurangan teruk.

“Misalnya di Gorontalo, stoknya didapati melimpah begitu mewah dan pengguna tidak merungut kerana harga masih murah, justeru dari sana akan kami salurkan pula ke daerah lain pula,” ujar beliau dipetik oleh KOMPAS.

Kenaikan harga cabai yang luar biasa turut mengakibatkan penduduk khasnya surirumah dan peniaga makanan di kawasan terjejas bekalan bingung kerana Indonesia begitu terkenal dengan rakyatnya amat suka makanan pedas.

cili3

Antaranya peniaga bakso, dikatakan terpaksa mengurangkan jumlah cabai rawit yang kebiasaannya memasukkan 5 biji semangkuk tetapi kini hanya 2 biji, sekali gus menyebabkan penggemar makanan sup pedas itu berasa gusar.

Seorang pembeli cili, Safia Hapsari berkata, di Pasar Sayung, Demak, ramai pelanggan turut mengeluh kerana terpaksa membeli sebanyak 19 biji cabai rawit setan secara runcit pada harga serendah 5,000 rupiah (RM1.70).

“Tapi ini sebenarnya lebih murah sebab kalau kita beli langsung daripada tukang jual sayur yang tunggang motosikal datang berniaga dari rumah ke rumah, seribu rupiah (RM0.40) pun cuma dapat tiga biji saja,” ujar wanita itu.

Sebuah stesen televisyen tempatan melaporkan, harga cabai rawit merah super di Pasar Banjarnegara, wilayah Jawa Tengah, mencapai paras 100,000 rupiah (RM34) berbanding sebelumnya hanya 25,000 rupiah (RM8.40).

Situasi sama turut berlaku di Kabupaten Kendal, Jawa Tengah namun ia disebabkan faktor kurang bekalan apabila petani cili di Desa Sidorejo menukarkan tanah mereka untuk penanaman padi pula. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Kategori