SUDAH pun mencecah usia 36 tahun, pelakon Pekin Ibrahim pastinya tidak dapat lari dengan soalan perihal perkahwinan.
Pun begitu, Pekin memberitahu dia tidak mahu berkongsi berita perkahwinan kepada sekiranya dia sudah merancang mahu berumah tangga.
Ini kerana bagi Pekin atau nama sebenarnya, Mohd Iznan Ibrahim, 36, merasakan perkara itu terlalu peribadi buat dirinya.
“Insya-Allah memang ada niat (kahwin) tapi saya belum tahu lagi bila ia akan tercapai. Buat masa ini saya masih berkawan dengan wanita itu dan beberapa wanita lain juga.
“Kalau boleh saya ingin berkahwin secara senyap-senyap dan tidak jemput orang termasuk rakan-rakan kerana saya rasa tidak perlu pun umum mengetahui tentang peribadi saya.
“Saya seorang yang tidak suka terlalu berkongsi tentang peribadi kepada orang termasuklah rakan-rakan. Saya memang tidak mahu majlis besar-besar dan bersanding di depan orang ramai,” ujarnya kepada mStar Online.
Ditanya mengenai hubungannya cinta bersama model antarabangsa yang menetap di London, Pekin memberitahu, hubungan itu masih terjalin.
Tahun lalu, Pekin mengesahkan dia sedang hangat bercinta dengan seorang model. Menurutnya, seorang mualaf dan menggunakan nama Islam, Iman.
Pekin bagaimanapun, enggan mendedahkan identiti kekasihnya itu kerana wanita itu terikat dengan beberapa kontrak.