PELAKON veteran popular era 1980-an, Datuk Baharuddin Omar atau lebih dikenali sebagai Anjang Aki dimasukkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju di ibu negara sejak Selasa.
Menurut isterinya, Datin Nazariah Abu Bakar, 62, suaminya dimasukan ke hospital selepas sering mengalami pening ketika bangun tidur atau lebih dikenali sebagai ‘vertigo’ akibat hilang kesimbangan badan dan mengalami masalah lemah badan.
“Mulanya suami jatuh sebaik bangun tidur pada Jumaat dan Sabtu minggu lalu. Beliau mulanya batuk serta tiada selera makan dan ini mungkin buat dia hilang imbangan.
“Bagaimanapun, selera makannya masih tiada dan batuknya masih kuat. Memandangkan beliau bekas anggota tentera, kami membawanya ke sini untuk rawatan lanjut,” katanya kepada Harian Metro.
Jelasnya, doktor kemudian menyarankan suaminya masuk wad kerana bimbang perkara sama berulang dan boleh mendatangkan kecederaan.
“Sekurang-kurangnya di sini beliau boleh terima rawatan dan makan. Alhamdulillah nampaknya hari ini selera makannya kembali ada.
“Kami menanti keputusan hormon dan tiroid yang dibuat sebelum ini. Pada petang ini juga doktor akan buat ujian imbasan otak untuk melihat lebih lanjut keadaannya,” katanya.
Sementara itu, Naziah memberitahu ini adalah kali pertama suaminya dimasukkan ke wad sepanjang 12 tahun mereka berkahwin.
Tambahnya, suaminya juga mempunyai kesihatan yang baik kerana tidak mengalami masalah buah pinggang, manakala kencing manis terkawal dan darah tinggi juga stabil. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Harian Metro