SEPANG – Suasana di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini pagi ini kecoh apabila seorang pemandu Grabcar meninggal dunia sewaktu menghantar pelanggan.
Kejadian menyayat hati tidak dijangka itu berlaku kira-kira pukul 8.20 pagi Jumaat manakala mangsa yang dikenali sebagai Dedi Abdullah dan berasal dari Jalan Labuk, Sandakan, Sabah itu maut setelah mengadu sesak nafas.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, ketika kejadian tersebut, mangsa yang berusia 28 tahun itu dikatakan hanya membawa seorang pelanggan dari Shah Alam, Selangor ke klia2.
Bagaimanapun ujar beliau, sebaik tiba di Aras 2, Balai Ketibaan, sekitar pukul 7.30 pagi, pemandu berkenaan secara tiba-tiba pula memaklumkan bahawa dia mengalami sesak nafas seolah-olah tahu ajalnya semakin hampir.
“Pelanggan si mangsa itu kemudian bergegas meminta bantuan daripada beberapa anggota polis trafik yang kebetulan bertugas di lokasi kejadian dan sedang memantau pergerakan aliran trafik di kawasan tersebut.
“Anggota berkenaan memberi bantuan dan segera memanggil paramedik dari Klinik Menara di Aras 2, klia2, sebelum mereka mengesahkan bahawa mangsa sudah meninggal dunia pada pukul 8.20 pagi,” katanya.
Abdul Aziz berkata, jenazah allahyarham Dedi dibawa ke Hospital Serdang dan hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian mangsa sebenarnya disebabkan oleh komplikasi jantung.
“Dua saluran jantung tersumbat. Tiada unsur jenayah disyaki berlaku,” kata beliau lagi. Kes tersebut dianggap sebagai kematian secara mengejut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA