IPOH – Seorang pemandu lori kontena maut selepas merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 294.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, kira-kira satu kilometer selepas susur keluar Gopeng, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 8.15 pagi itu, Khairul Nazuan Marzuri, 28, dari Felda Lawin Selatan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata kejadian berlaku selepas mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah treler yang sedang ditunda di lorong perlahan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah akibat tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA