SELEPAS hampir tiga tahun menyusuri lokasi jatuhnya pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014, misi pencarian pesawat jenis Boeing 777 itu bakal ditamatkan dalam tempoh dua minggu lagi.
Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, ia hampir melengkapkan fasa terakhir operasi menyelamat itu.
Misi pencarian seluas 120,000 kilometer persegi di bahagian selatan Lautan Hindi itu diketuai pasukan Australia, membabitkan kos RM650 juta yang ditanggung oleh tiga negara iaitu Malaysia, Australia dan China.
“Malaysia, Australia dan China komited untuk kita habiskan misi pencarian kita di kawasan 120 ribu kilometer persegi dan ini, kita berada dalam peringkat terakhir.
“Hanya tinggal lebih kurang satu atau dua minggu lagi dan kita akan menyelesaikan misi ini dan apabila selesai nanti kita akan buat laporan dan maklumakan kepada semua,” katanya yang memetik Astro Awani.
Menurutnya, pihaknya akan menentukan langkah operasi seterusnya dalam mesyuarat khas bersama menteri tiga negara sebelum sambutan Tahun Baru Cina akan datang.
Tambah Liow, laporan penuh juga akan didedahkan kepada umum yang akan dimuat naik di laman sesawang Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB). – MYNEWSHUB.CC