TAMPIN – Walaupun keadaan banjir di Taman Sungai Gemas, di sini masih terkawal, penduduk yang belum terjejas diminta membuat persiapan andai hujan kembali berlaku.
Menurut Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Datuk Abd Razak Abd Said, ketika ini hanya sebahagian penduduk kawasan itu yang terjejas manakala masih ada kawasan yang belum dinaiki air.
“Sepanjang hari ini keadaan cuaca baik, namun paras air dijangka meningkat sekiranya hujan. Penduduk yang rumahnya belum dinaiki air ketika ini sedang buat persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Setakat pukul 8 malam tadi, seramai 127 orang daripada 35 keluarga dari taman perumahan itu telah dipindahkan, meningkat daripada 84 orang (22 keluarga pada pukul 12 tengah hari.
Abd Razak berkata air dipercayai melimpah dari kolam Jabatan Pengairan dan Saliran serta kolam takungan Indah Water Konsortium dan punca limpahan air akan dikenal pasti bagi mengatasi masalah banjir ini.
“Sebelum ini kita sudah bina benteng pada 2004 dan tebatan banjir pada 2011 selepas banjir besar bagi mengelakkan limpahan air masuk ke kawasan perumahan.
“Namun hari ini ia masih berlaku dan kita akan cari punca agar dapat atasinya dengan lebih berkesan,” katanya.
Menurut Abd Razak air di kawasan itu mula naik kira-kira pukul 11 malam semalam sebelum penduduk yang rumahnya dinaiki air dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Besar Gemas.
Beliau berkata pembinaan sebuah pam air yang dijangka siap pada April ini diharap dapat mengatasi masalah banjir di situ.
Sementara itu, Komander Markas Garison Gemas Kem Syed Sirajuddin, Kol Radzuan Abu Bakar berkata anggota tentera akan dihantar ke lokasi banjir jika diperlukan.
“Setakat ini anggota dan aset kita diletakkan dalam keadaan bersiap sedia…kita akan atur gerakkan mengikut keadaan semasa. – BERNAMA