KUALA LUMPUR – Gara-gara mencuri dua unit meter air, seorang penganggur dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Siti Radziah Kamarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas R. Perabakaran, 41, selepas dia mengaku bersalah mencuri dua unit meter air milik penghuni Blok F, PPR Pinggiran Bukit Jalil, Cheras, di sini, pada 1 tengah hari , 9 Jan lepas.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dari tarikh tangkap, pada 9 Jan lepas dan tertuduh kemudiannya di hantar ke Penjara Kajang.
Perabakaran didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menjaga ibu bapanya yang tua. – BERNAMA