PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan dua pengawal keselamatan warga asing di sini hari ini kerana menggunakan kad pengenalan palsu.
Mereka ditahan dalam operasi yang dijalankan di pos pengawal sebuah kuarters kerajaan Jalan Duta, Kuala Lumpur awal pagi ini, kata Ketua Pengarah JPN, Mohd Yazid Ramli.
Katanya, ketika pemeriksaan dijalankan, mereka yang mengaku berasal dari Sabah gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri seperti yang dicatatkan pada rekod kehadiran bertugas.
“Hasil siasatan lanjut membawa kepada penemuan kad pengenalan yang digunakan oleh mereka yang disahkan palsu, berdasarkan kepada keadaan fizikal kad tersebut yang tidak sama seperti ciri-ciri kad pengenalan dikeluarkan JPN,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata mereka seterusnya mengaku berusia 30 dan 40 tahun serta berasal dari Basilan, Filipina dan mendakwa baru dua bulan berada di Malaysia.
Seorang daripada suspek memaklumkan, mereka masuk ke Malaysia melalui Sandakan, Sabah dan seterusnya datang ke Kuala Lumpur menggunakan kapal terbang yang diuruskan oleh ejen dengan menggunakan kad pengenalan palsu tersebut, katanya.
Menurut suspek, kad pengenalan itu diperolehi dengan bayaran RM400 sekeping, tidak termasuk harga tiket penerbangan, katanya.
Kedua-dua suspek disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri dan boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – BERNAMA