BEKAS anggota kumpulan duo Asiarasa, Jamal Manap atau lebih dikenali sebagai Papa J telah kembali rahmatullah kira-kira jam 9.50 malam tadi dalam usia 55 tahun.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di hospital akibat pendarahan kepala selepas dilaporkan tidak sedarkan diri di depan pintu bilik air di kediamannya di Taman Kosas, Ampang, pagi semalam.
Menurut abang allahyarham, Mohamad Sani, 57, Jamal ditemui tidak sedarkan diri oleh seorang pekerjanya yang datang ke rumah itu untuk keluar berniaga pada jam 10.15 pagi.
“Saya dan isteri tidak tahu kejadian sebenar kerana dia tinggal seorang diri. Pagi tadi apabila salah seorang pekerjanya tiba di rumah untuk pergi berniaga, dia mendapati Jamal tidak sedarkan diri.
“Dia ditemui terlantar di depan pintu bilik air sementara air gula yang dimasak juga sudah kering,” katanya kepada Harian Metro.
Sani yang tinggal bersebelahan rumah Jamal juga memberitahu, sikap allahyarham juga sangat lain sejak kebelakangan ini sebelum pemergiannya.
“Baru-baru ini sikapnya sangat lain apabila memberitahu kakak bahawa dia tidak tahu berapa lama lagi akan hidup,” tambahnya.
Jenazah Allahyarham dijangka disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Buat peminat Gegar Vaganza, pastinya kenal dengan Papa J kerana Allahyarham merupakan penyeri dan penonton setia ketika program realiti itu bersiaran langsung. – MYNEWSHUB.CC