LABUAN – Mahkamah Khas Rasuah di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang penyelia pusat hiburan berumur 62 tahun kerana tidak menghadirkan diri untuk menjawab satu tuduhan rasuah hari ini.
Kenny Chong ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2014 kerana didakwa cuba memberi suapan kepada seorang pegawai polis.
Suapan itu didakwa sebagai imbuhan agar membebaskan tiga wanita yang disyaki bekerja secara haram sebagai pelayan pelanggan di sebuah pusat hiburan di sini.
Tiga wanita berkenaan ditangkap dalam operasi bersepadu di beberapa pusat hiburan malam di pulau ini kerana tidak mempunyai permit kerja dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.
SPRM membebaskan Chong dengan ikat jamin setelah mengenakan tahanan reman terhadapnya bagi membantu siasatan, namun lelaki itu menghilangkan diri.
Chong menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun serta denda tidak lebih lima kali ganda nilai suapan yang diterima atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.
Waran tangkap itu dikeluarkan Hakim Abu Bakar Manat. – BERNAMA