ISTANBUL – Polis Turki awal pagi tadi menahan lelaki dipercayai membunuh 39 orang di kelab malam di sini pada 1 Januari lalu.
Menurut laporan media tempatan, suspek utama itu ditahan pada 12.15 tengah malam Isnin waktu tempatan (5 pagi tadi waktu Malaysia).
Suspek ditemui bersama anak lelaki berusia empat tahun di dalam pangsapuri di Esenyurt di sini selepas operasi besar-besaran polis.
Pangsapuri itu disewa daripada warga Kyrgyz di Istanbul yang turut ditahan.
Dalam operasi itu, lima individu ditahan termasuk tiga wanita.
Suspek sudah lebih dua minggu diburu polis apabila melepaskan diri selepas serangan di kelab malam Reina di sini.
Suspek ditahan hasil operasi bersama polis Turki dan agensi risik MIT. – AFP/myMetro Online