KOTA BHARU – Perlawanan bola sepak Liga Super antara Kelantan dan Melaka United yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam ini ditunda ke suatu tarikh lain berikutan cuaca buruk.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Datuk Ismail Md Noor berkata pihaknya bersetuju dengan keputusan mesyuarat bersama Komisioner Perlawanan yang memutuskan untuk menunda perlawanan itu selepas mengambil kira beberapa faktor.
“Keputusan tersebut dibuat setelah kami melakukan pemeriksaan terhadap permukaan padang, dan turut mengambil kira faktor kecederaan pemain, keselesaan penonton dan kesan kepada fasiliti stadium.
“Perlawanan itu akan ditunda kepada satu tarikh yang akan ditetapkan nanti,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beberapa kawasan rendah di negeri ini mula ditenggelami air berikutan hujan lebat yang berterusan sejak malam semalam. – BERNAMA