KUALA LUMPUR – Kedah bernasib baik kerana memenangi Piala Sumbangsih 2017 berdasarkan penentuan sepakan penalti sewaktu menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Larkin malam tadi.
Pengarah Sukan Kelab Bola Sepak JDT, Alistair Edwards berkata, pasukan Kedah mengulangi nasib baik yang pernah dialami JDT sewaktu menentang Selangor pada tahun lalu.
“Kami mengucapkan tahniah kepada Kedah kerana memenangi penentuan sepakan penalti, seperti kami bernasib baik kerana memenangi sepakan penalti ke atas Selangor pada tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pasukan Kedah membuat kejutan besar apabila menewaskan juara bertahan JDT bagi menjuarai Piala Sumbangsih 2017 menerusi penentuan penalti di Stadium Larkin semalam.
Edwards berkata, beliau bagaimanapun cukup berbangga dengan usaha pemain dan jurulatih berdasarkan pelbagai perkara yang berlaku ke atas JDT dalam tempoh satu minggu.
Malah, katanya, JDT bermain dalam sebahagian besar permainan malam tadi dengan hanya sepuluh pemain.
“Hakikatnya kami teah memulakan musim ini dengan cara yang sama yang menunjukkan kami mempunyai saingan yang kuat dan memiliki karakter yang hebat.
“Terdapat beberapa tanda-tanda besar malam ini bahawa musim ini akan menjadi satu lagi tahun yang menarik untuk JDT,” katanya.
Sementara itu, jurulatih baharu JDT, Benjamin Mora berkata, pasukannya berjuang seperti harimau sewaktu bermain selama 50 minit dengan 10 pemain di atas padang.
Bagiamanapun, katanya, JDT berjaya menamatkan lebih 90 minit permainan dengan kesudahannya seri 1-1 dan mengutip satu mata untuk Liga Super.
“Malangnya penentuan melalui penalti kadang-kala tidak diduga dan kami tidak bernasib baik untuk memenanginya,” katanya. – MYNEWSHUB.CC