PUTRAJAYA – Patah tumbuh, hilang berganti…. Mungkin itulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan kehadiran kucing baharu dalam ‘keluarga besar’ Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menerusi perkongsian dalam laman sosial Twitter rasmi beliau pada hari ini, Perdana Menteri secara berseloroh sempat lagi mengicau dengan netizen apabila mengumumkan: “Lagi tambahan ahli keluarga saya… Leo.”
Kicauan terbaharu Najib itu ternyata mendapat maklum balas positif apabila dikicau semula lebih 400 kali selain menerima ratusan lagi tanda suka daripada pengguna Twitter yang turut teruja dengan berita unik tersebut.
Sekadar makluman, Perdana Menteri pernah memiliki seekor kucing jantan bernama Leo ketika menghadiri kempen ‘Belilah Barangan Buatan Malaysia’ di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 2010 lalu.
Mamalia comel baka Parsi itu turut dibeli dengan pasangannya, Kiki. Bagaimanapun Leo meninggal dunia tidak lama selepas temannya itu selamat melahirkan seekor anak mereka yang kemudian diberi nama sebagai Tiger.
Najib tidak menceritakan dengan lebih lanjut mengenai Leo ‘baharu’ namun ia kemungkinan merupakan pengganti kepada Leo ‘lama’ yang cukup disayangi Perdana Menteri waima sesibuk mana sekalipun beliau suatu ketika dahulu.
Ternyata di sebalik kekangan jadual padat dengan pelbagai urusan rasmi, Najib amat menyayangi kucing yang juga merupakan haiwan kesayangan junjungan Rasulullah SAW ketika zaman hayat baginda kira-kira 14 kurun lalu.
Bahkan sikap mulia Perdana Menteri yang masih ada masa meluangkan diri ‘bermanja’ dengan kucing peliharaan di kediaman keluarganya membuktikan beliau sememangnya pemimpin berjiwa besar. – Mynewshub.cc/HAA