IMEJ polis dalam menentang jenayah nampak cemerlang sejak era penubuhan pelbagai skuad khas untuk memerangi penjenayah, terutama pengedaran dadah dan jenayah terancang.
STAFOC ditubuhkan sebagai Pasukan Tugas Khas Melawan Jenayah Terancang. STAGG berperanan sebagai Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme. STING pula Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik .
Profil skuad yang ditubuhkan memberikan persepsi awam bahawa PDRM sudah melangkah melangkaui era SWAT yang satu ketika dulu menjadi ikonik dalam perang menentang penjenayah.
Namun, PDRM tidak boleh leka. Kejayaan mungkin sudah tangan kanan, tapi di tangan kiri, rakyat masih berprasangka. Isu berterusan mengenai ancaman Ah Long dan mewujudan pusat judi mesin kuda meninggalkan impak: Rakyat tetap curiga. Mengapa jenayah Ah Long dan mesin judi masih berleluasa?
Keyakinan awam penting untuk intergriti polis. Tidak guna pelbagai usaha dibuat dalam penjenamaan polis, tapi isu Ah Long dan pusat mesin judi haram membuatkan rakyat bertanya: Apakah imej polis benar-benar meningkat?
Walaupun indek jenayah sentiasa menurun rakyat akan beranggapan ia hanya angka stimulasi. Apa ertinya angka kalau bahaya boleh sampai ke pintu rumah sekelip mata?
Rakyat mungkin sudah penat mengkritik. NGO pula sudah jelak untuk terus mengkritik. Apabila rakyat sudah hilang semangat mengkritik dan NGO memilih berdiam diri, maka ini khabar buruk untuk polis.
Senyapnya suara awam dan NGO bererti keyakinan terhadap polis mencapai tahap kritikal. Kita bimbang, budaya diam dan enggan lagi menegur polis, akhirnya mencipta resam baharu: Rakyat memilih bertindak sendiri!
Kes Ah Long mengganas di Seremban satu lagi scenario yang menyakitkan. Ia budaya seolah-olah kita sedang tingga di Negara Ah Long.
Sepasang suami isteri diselubungi ketakutan apabila menerima notis ugutan dipercayai dilakukan ‘Ah long’ yang tersalah sasaran dan tambah meresahkan apabila kediaman mereka turut disimbah cat sebulan selepas menerima notis ugutan.
Mohd Ariffin Ayob, 46, berkata beliau dan isteri berasa bingung kerana dikejar Ah Long dan diserang seperti itu sedangkan dia dan isteri serta dua anaknya masing-masing berusia 22 dan 21 tahun tidak pernah meminjam dengan Ah Long.
Kes di Seremban pasti menimbulkan kebimbangan awam. Ancaman Ah Long kini boleh muncul di mana-mana. Sekali pun di rumah seorang yang hanya dijadikan mangsa rambang.
Dalam erti kata lain: Ah Long sengaja menunjukkan kuasanya untuk menimbulkan ketakutan!
Kita tidak mahu, kerana marahkan Ah Long, rakyat memilih untuk bersatu menentang jenayah terancang secara kolektif tanpa mempercayai lagi peranan polis.
Di Indonesia, kekecewaan yang besar terhadap pihak berkuasa menjadikan gerakan Front Pemuda Islam (FPI) berjaya melebarkan pengaruh. FPI berjaya menyusup masuk dan menghasut orang awam setelah kekecewaan terhadap kuasa polis memuncak.
FPI mengetuai operasi menentang jenayah secara terbuka dan rakyat bangkit menyokong mereka. Rumah pelacuran, pusat judi dan sarang penjayah diserang dan dimusnahkan dengan menggunakan hukum awam.
Di Filipina, kekecewaan terhadap jenayah berleluasa menjadikan seorang Presiden pun akhirnya meminta rakyat bangkit dan melakukan pembunuhan terbuka terhadap pengedar dadah.
Kes kebangkitan awam di Indonesia dan Filipina ada puncanya. Ia berlaku apabila rakyat tidak lagi berasa polis mampu melindungi mereka.
Justeru, kita berharap PDRM bertindak segera. Kita perlukan skuad khas yang komited memusnahkan jenayah Ah Long. Hari ini cara Ah Long bertindak menyebabkan rakyat bertanya pada PDRM: Apakah kita tinggal di negara Ah Long? – MYNEWSHUB.CC