SEREMBAN – Tiga lelaki termasuk dua remaja bawah umur, yang tidak bersekolah lagi, ditahan polis semalam kerana disyaki terlibat dalam kes pecah sekolah di Sikamat, dekat sini.
Ketua Polis daerah Seremban ACP Thiew Hock Poh berkata kesemua suspek yang berusia 15, 16 dan 22 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman College Height, Sikamat kira-kira pukul 1.30 pagi, pada Ahad.
“Pada Selasa lepas, pihak sekolah telah membuat laporan polis mengatakan sekolah dipecah masuk dan kehilangan barangan seperti kamera, telefon bimbit dan komputer riba.
Serbuan turut merampas jam tangan, rantai dan pakaian yang dipakai semasa melakukan kejadian jenayah tersebut,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini hari ini.
Dalam kes berasingan, Thiew berkata pihak polis berjaya menahan dua lelaki warganegara Myanmar ketika mereka sedang melakukan jenayah pecah rumah di Taman Seremban Jaya kira-kira pukul 2.20 pagi, hari yang sama.
Beliau berkata kedua-dua suspek yang berusia 21 dan 28, merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Polis menerima maklumat dari orang awam yang mengatakan dua lelaki sedang memcah masuk sebuah rumah.
Tindakan pantas pihak polis berjaya memberkas kedua-dua suspek yang tidak sempat melarikan diri,” katanya.
Thiew berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek juga terlibat dalam tiga lagi kes pecah rumah di Nilai.
Beliau berkata kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah masuk premis.
Sementara itu, bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina Sabtu ini, Thiew turut menasihati orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman atau bercuti, untuk memaklumkan ketiadaan mereka di balai polis berhampiran.
“Pihak polis sentiasa dalam keadaan siap sedia untuk menjaga keselamatan orang ramai dan jika orang ramai mendapati ada berlakunya kejadian yang mencurigakan boleh menghubungi talian IPD Seremban di 06-6014999,” katanya.- BERNAMA