TAWAU – Tiga lelaki yang dipercayai terlibat dengan kegiatan pecah rumah di daerah ini, diberkas polis dalam dua serbuan berasingan awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, suspek pertama berumur 37 tahun ditahan di Jalan Apas kira-kira pukul 1.30 pagi selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di Taman Marry pada Disember lepas.
“Hasil siasatan awal, suspek turut mendedahkan terlibat dengan lima kes pecah rumah lain di sekitar bandar Tawau,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Ketika serbuan, Fadil berkata suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri dengan terjun dari balkoni belakang rumah namun berjaya ditangkap polis.
“Ketika suspek ditahan, polis turut menjumpai satu paket kecil plastik lutsinar berisi hablur jernih kristal disyaki syabu serta merampas dua komputer riba Macbook Air dan Toshiba dan seutas jam tangan Swiss,” katanya.
Selain itu, katanya dalam serbuan berasingan di Taman Muhibbah, polis menahan dua lelaki berumur 58 dan 26 tahun kira-kira pukul 4 pagi selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di Taman Sentosa pada Nov lepas.
“Dalam serbuan kedua itu, polis merampas enam televisyen termasuk jenama Panasonic dan LG, tiga kamera litar tertutup (CCTV), dua pengecas CCTV, tablet jenama Micxon serta sebilah senjata tajam buatan sendiri kira-kira 52 inci panjang,” katanya.
Fadil berkata saringan ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek juga didapati positif dadah. – BERNAMA