KUALA LUMPUR – Pembangkang sebelum ini memuji-muji kerajaan Amerika Syarikat (AS) kerana mengumumkan siasatan ke atas isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun ia belum lagi dibuktikan.
Pemimpin pembangkang `melonjak gembira’ dan menyokong penuh pengumuman kerajaan AS itu kerana yakin ia mampu merosakkan imej kerajaan Malaysia di mata dunia dan di mata rakyat negara ini.
Bagaimanapun, hari ini mereka sekonyong-konyong berubah nada menuduh pula AS berpakat dengan UMNO kononnya untuk mengekalkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Tuduhan tidak berasas itu dilemparkan gara-gara pendedahan mengemparkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS tentang skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF) melibatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.
Pemimpin PAS tetapi pro-Pakatan Harapan, Datuk Mahfuz Omar dengan biadap mendakwa, pendedahan CIA tentang skandal Mahathir itu menujukkan politik UMNO makin menggila kerana mengalami penyakit ‘sawan gila dirasuk hantu’.
“Apakah ini satu konspirasi politik jahat antara UMNO dan CIA untuk mengekalkan Najib terus berkuasa walaupun ‘belemoih’ dengan isu 1MDB.
“Adakah CIA mahukan Malaysia diperintah oleh UMNO. Adakah ini menunjukan Najib dan UMNO akan menjadi pencacai AS dan ‘budak suruhan’ Donald Trump,” dakwanya dengan semborono dalam satu kenyataan media hari ini.
CIA baru-baru ini mengemparkan dunia apabila mendedahkan dokumen rasmi mengenai skandal perbankan terbesar BMF pada tahun 1980-an membabitkan Mahathir yang juga pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Malaysia.
Antara 13 kertas siasatan yang dikeluarkan minggu lalu CIA mempertikaikan respons pentadbiran Mahathir dalam mengendalikan kerugian kira-kira AS$1 bilion itu.
Mahathir menubuhkan PPBM untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan diketuai DAP dan dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Parti Amanah Negara (PAN).
Beliau bersama pembangkang gara-gara berdendam dengan UMNO kerana enggan memenuhi hasratnya menumbangkan Najib selaku Perdana Menteri bagi digantikan dengan anaknya, Datuk Seri Mukhriz. – MYNEWSHUB.CC