KOTA BHARU – Satu rangka manusia, yang dijumpai tertanam sedalam 0.5 meter di kawasan kebun getah di Kampung Lepan Rambai berhampiran kawasan perkelahan Jeram Linang, Pasir Puteh semalam, dipercayai lelaki yang meninggal dunia kira-kira sebulan lepas.
Ketua Pois Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata seorang penduduk di kawasan itu mendakwa rangka manusia berkenaan adalah anak lelakinya berdasarkan gigi dan seutas tali kasut yang dipakai di leher sebagai azimat perubatan.
Penduduk terbabit, Saudi Hussin yang berusia 50-an, mendakwa rangka itu milik anaknya bernama Adam berusia 21 tahun, yang ditemuinya buat kali terakhir pada September 2016, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata Saudi, yang tinggal di Gong Chenok, kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi penemuan rangka berkenaan, memberitahu bahawa anaknya menetap di Thailand sebelum berpindah ke negeri ini pada 2013.
Menurutnya siasatan awal mendapati adanya kesan pecah pada tengkorak mangsa tetapi tidak dapat dipastikan sama ada kesan itu yang menjadi punca kematiannya.
Beliau berkata Saudi mendakwa Adam pernah luka di kepala dalam satu kemalangan jalan raya.
“Polis akan mendapatkan bantuan daripada pakar forensik bagi memeriksa rangka manusia itu,” katanya.
Beliau berkata Saudi juga tidak membuat laporan polis berkaitan kehilangan anaknya.
Rangka itu dijumpai selepas seorang penoreh getah terhidu bau busuk daripada sebuah lubang, yang dipercayai digali oleh anjing liar, pada 11 pagi semalam. – BERNAMA