Sunday, November 24, 2024

Creating liberating content

Sasar Sifar Penagih Dadah...

SEREMBAN - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan menyasarkan sifar penagihan di...

Selangor Umum 13 Disember...

KUALA LUMPUR - Kerajaan Selangor mengumumkan 13 Disember ini sebagai Hari Kelepasan Am...

Menteri Agama, Dr Zulkifli...

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan dijangkiti Covid-19.

Ular Menyelinap Masuk Ke...

IPOH - Petugas Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di...

Remaja Sakit Jantung, Teringin Bergerak Bebas Seperti Dulu

DUNGUN – “Kalau boleh, saya teringin sangat nak jadi macam dulu, boleh ke sekolah dan boleh ke mana-mana sahaja tanpa menggunakan alat bantuan jantung,” luah Mohd Hamirul Mohd Rosdi.

Mohd Hamirul, 20, dari Kampung Pinang Merah, Paka, di sini terpaksa bergantung dengan alat bantuan jantung ‘Ventrical Assist Device’ (VAD) setelah disahkan menghidap penyakit jantung sejak lima tahun lalu ekoran jantungnya membengkak dan kedua-dua injap jantungnya bocor.

“Saya nak duduki semula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebab saya bercita-cita nak jadi seorang anggota polis… nak berjaya dan balas jasa keluarga yang telah banyak berkorban untuk saya.

“Sebenarnya saya pernah duduki SPM sebanyak dua kali pada 2014 dan 2015… tapi saya tak dapat sijil SPM sebab tak sempat nak habiskan semua kertas yang saya ambil kerana mendapat serangan jantung,” katanya.

Beliau ditemui Bernama di kediamannya selepas menerima rawatan doktor dan jururawat daripada Institut Jantung Negara (IJN), di sini hari ini.

Kehidupan anak ketiga daripada tujuh adik beradik itu terus diuji setelah diserang strok Julai tahun lepas hingga menyebabkannya terpaksa ditempatkan di unit rawatan rapi bagi pesakit strok setelah koma selama tiga minggu.

“Saya reda dengan ujian ini…saya kuat kerana keluarga saya sentiasa di sisi dan ibu serta abang saya selalu beritahu supaya saya terus bersemangat dan kuat untuk melalui semua ujian ini.

“Saya tak pernah rasa putus asa, saya nak sembuh dan kembali seperti dahulu…saya pernah koma, tak dapat berjalan…tapi saya kuat,” katanya.

Sementara itu Perunding Kardiologi IJN, Datuk Dr. Azmee Mohd Ghazi berkata pihaknya bersyukur dengan perkembangan positif yang ditunjukkan Mohd Hamirul dari hari ke hari.

“Alhamdulillah, keadaan Mohd Hamirul semakin stabil dan sihat dari hari ke hari…jika sebelum ini dia tak dapat berjalan, hari ini dia dah boleh berjalan walaupun tidak terlalu sempurna,” katanya.

“Keadaan jantungnya juga semakin stabil dan kalau tengok keadaan diri Hamirul masa dia diserang strok dahulu memang agak teruk dengan keadaan terlantar…dia memang seorang yang kuat,” katanya.


Azmee berkata Hamirul yang telah menjalani pembedahan jantung mekanikal sejak lima tahun lalu juga masih dalam senarai untuk menunggu penderma jantung yang sesuai.

“Semua pesakit yang memakai jantung mekanikal ini kita masukkan dalam senarai pesakit untuk buat transplan…tetapi kalau nak buat transplan pemindahan jantung, komplikasinya agak tinggi untuk pesakit yang diserang strok.

“Untuk Hamirul, kami nak dia benar-benar stabil, dan bila strok dia dah benar-benar pulih, barulah boleh dijalankan pemindahan jantung kalau ada jantung yang sesuai tetapi dalam keadaan sekarang, memang masih belum dapat dilakukan transplan,” katanya.

Ibu Hamirul, Norhaliza Yusof, 50, berkata beliau berterima kasih kepada IJN dan Yayasan IJN yang berkunjung ke rumahnya untuk membuat pemeriksaan terhadap anaknya.

“Saya bersyukur bila IJN datang ke sini untuk merawat Hamirul, ini merupakan kali kedua…kalau tak, kami kena pergi sendiri ke IJN untuk rawatan Hamirul.

“Alhamdulillah, Hamirul dah boleh berjalan perlahan-lahan dan dia pun dah dapat bercakap. Dia menjalani rawatan refleksologi di Hospital Dungun seminggu sekali untuk pergerakan kaki dan tangan manakala setiap tiga bulan Hamirul menjalani terapi suara di Hospital Kemaman,” katanya.

Norhaliza yang kematian suaminya Jun tahun lalu berkata beliau turut berharap agar Jabatan Kebajikan Masyarakat mempercepatkan bantuan untuk menampung kos perbelanjaan Hamirul.

“Saya tak bekerja, memang setiap kali nak menjalani rawatan di mana-mana, semuanya memerlukan kos…saya harap JKM dapat membantu dan saya telah permohonan sejak tahun lalu,” katanya.

Sempena kunjungan tersebut, Norhaliza turut menerima sumbangan perubatan berupa wang tunai daripada Eksekutif Kanan Yayasan IJN Siti Fairus Abd Mohamed. – BERNAMA

Kategori