BUTTERWORTH – Rangkaian restoran Nasi Kandar Pelita Samudra Pertama (M) Sdn. Bhd. (Pelita) hari ini menafikan dakwaan kononnya restoran itu tidak halal kerana ia dimiliki oleh penganut bukan Islam.
Dakwaan itu menjadi tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak minggu lepas.
Pengarah Eksekutif Pelita, Datuk D.Murugan, 47, berkata beliau kecewa dengan pihak yang memfitnah restoran berkenaan sedangkan 25 cawangannya mempunyai sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Pembabitan saya selaku bukan beragama Islam dalam perniagaan Pelita ini telah menimbulkan pelbagai fitnah dan tohmahan.
“Sehingga ada yang mempersoalkan sama ada seorang beragama Hindu boleh berkongsi perniagaan dengan yang beragama Islam,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ekoran itu beliau telah mendapatkan penjelasan dari seorang pendakwah bebas terkenal yang menasihatinya bahawa tidak timbul isu atau masalah sekiranya orang beragama lain menjadi rakan kongsi orang beragama Islam.
Katanya, isu restoran itu tidak halal menjadi tular sejak 2012 serta berlarutan sehingga sekarang dan kemuncaknya pada minggu lepas selepas Pelita mengumumkan pembukaan cawangan baharu di Arab Saudi. – BERNAMA