TULAR khabar angin kononnya pelakon Saharul Ridzwan mengalami susut badan akibat konon terkena buatan orang atau cakap mudahnya iaitu sihir.
Dakwaan tersebut bagaimanapun dinafikan keras oleh Saharul sendiri ketika ditemu bual oleh sebuah portal hiburan tempatan dalam sebuah majlis di ibu kota.
Namun dia menjelaskan bahawa penurunan berat badannya itu adalah kerana kurang rehat serta mengamalkan diet yang agak ketat.
“Tak adalah benda-benda macam itu minta dijauhkan, kadang-kadang bila selalu sangat bercakap itu akan jadi satu doa.
“Jadi bagi saya apa yang terjadi adalah dugaan Allah dan maknanya kita perlu dekatkan diri pada Allah.
“Saya ada diet sikit dari 85kg ke 77kg dan sebab kurang rehat,” jelasnya.
Saharul yang bakal bergelar bapa dalam masa beberapa bulan lagi turut berkongsi bahawa dia mengalami alahan apabila mengidam untuk makan ikan patin ketika menjalani penggambaran di Pahang.
“Isteri ada juga alahan apabila dia minta lepok durian. Saya pula nak makan ikan patin,” katanya.
Malah pelakon Love You Mr. Arrogant ini turut memberitahu bahawa dia dan isteri bakal menunaikan umrah dalam masa terdekat ini.
Semoga perjalanan menunaikan umrah dipermudahkan oleh yang Maha Esa dan segala hajat termakbul. -MYNEWSHUB.CC