KUALA LUMPUR – Seorang penganggur dihukum penjara enam tahun dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan samun bersenjatakan, tahun lepas.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Chok Kian Hoong , 43, selepas dia mengaku menyamun menggunakan sebilah parang terhadap penjaga kaunter, Syafrie Syazlan Wahab, 28 dengan mengambil 61 kotak rokok yang bernilai RM998 di Kedai serbaneka, 7 Eleven, Jalan Jambu Bertih, Jinjang, Sentul, di sini, pada 7.22 pagi, 10 Ogos 2016.
Mahkamah memerintahkan Chok menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan akan dipenjara setahun lagi jika gagal membayar denda.
Dia didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Norazlin Mohamad Yusoff memohon hukuman yang setimpal berbentuk pengajaran. – BERNAMA