PEMANDU lori yang menjadi mangsa pukul sekumpulan lelaki dalam kejadian di kondominium Puncak Anthenaeum, Bukit Antarabangsa, tampil menceritakan semula kejadian yang berlaku ke atasnya secara terperinci.
Mangsa yang menerima 13 jahitan di bahagian belakang kepala mengatakan dia terus dibelasah sejurus disoal salah seorang suspek yang dipercayai pengawal peribadi kepada pemilik Mercedes Benz yang dilanggar mangsa.
“Dia datang, saya tanya dia dulu ini kereta dia ke? Kemudian dia pula bertanya ini lori siapa? Saya kata ini lori saya dan dia angkat tangan dia dan terus pukul saya,“ katanya tersekat-sekat kepada wartawan Harian Metro.
Ketika ditanya adakah dia sedar dia telah dibelasah oleh beberapa orang individu, mangsa berkata, “Tak, saya hanya ingat seorang lelaki pukul saya dan dua lagi lelaki tendang saya. Itu saja yang saya ingat. Bila saya tengok video viral di Facebook, ramai yang tendang saya.”
Ditanya sama ada dia ada menerima sebarang ugutan, mangsa berkata tiada.
“Tiada, cuma majikan saya beritahu saya yang mereka ini kumpulan gangster besar,” kata mangsa sebelum diikuti dengan sorakan ‘gangster besar’ dari orang ramai.
Dalam perkembangan terkini, polis telah memanggil 15 orang saksi bagi membantu siasatan. Semua saksi yang dipanggil berkenaan adalah perakam video, pengawal keselamatan dan penduduk setempat, lapor Harian Metro.
Polis juga telah menahan seorang suspek berusia 42 tahun yang terkenal dengan panggilan ‘Along Taman’ jam 11.10 malam semalam di kediamannya.
Suspek yang menyedari kehadiran polis bagaimanapun enggan memberi kerjasama dan mengunci pintu rumahnya. Polis memberikan amaran dan arahan beberapa kali sehingga terpaksa memecahkan pintu rumah suspek.
Suspek kemudian bertindak agresif dan menyerang anggota polis yang membuat serbuan dan berlaku pergelutan di antara suspek dan anggota polis sebelum berjaya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang untuk siasatan lanjut. – MYNEWSHUB.CC