HUBUNGAN pelakon jelita Izara Aishah bersama-sama dengan anak tiri Datuk Siti Nurhaliza iaitu Adib Khalid sememangnya bukan lagi rahsia.
Terbaharu, muncul perkhabaran menyatakan pasangan ini akan melangsungkan perkahwinan mereka tahun ini.
Izara, 24, bagaimanapun, tampil menafikan perkara itu dan memberitahu mereka belum menetapkan sebarang tarikh perkahwinan.
Pun begitu, Izara akui dia ada berbincang dengan kekasihnya itu mengenai soal perkahwinan.
“Belum ada sebarang tarikh ditetapkan kerana keluarga kami belum berjumpa. Namun, saya dan Adib ada bercakap dan merancang mengenai perkara ini.
“Apabila sampai masanya nanti saya pasti akan maklumkan berita baik ini tetapi buat masa sekarang belum ada kata putus daripada pihak kami,” katanya kepada Harian Metro.
Pada masa yang sama, Izara akui tidak terkejut dengan berita palsu yang tersebar itu, namun agak rimas apabila sering diajukan soalan mengenai perkahwinan.
Pasangan ini telah menjalinkan hubungan cinta selama empat tahun. – MYNEWSHUB.CC