KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyuarakan hasratnya untuk menjamu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hidangan popular Pahang, ikan patin masak tempoyak.
Baginda membuat pelawaan itu secara spontan menerusi persidangan video dengan Najib yang berada di Putrajaya, di hadapan hampir 10,000 pengunjung Majlis Pengisytiharan Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP2017) di pekarangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini.
“Bila nak melawat Pahang? Saya nak belanja ikan patin masak tempoyak di Restoran Jaman Tory (di sini),” katanya secara berseloroh dan disambut dengan sorakan hadirin.
Hadir sama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Najib membalas dengan menyatakan beliau berbesar hati dengan pelawaan itu dan sambil berseloroh menyatakan kedatangannya ke Pahang bukan melawat, tetapi ‘balik ke Pahang’ memandangkan beliau adalah anak jati negeri ini.
Sementara itu, Najib, dalam ucapan ringkasnya, optimis sasaran kerajaan negeri untuk mencapai kehadiran 15 juta pelancong pada TMP2017 akan tercapai memandangkan Pahang mempunyai kepelbagaian produk pelancongan, ditambah dengan kerja kuat kerajaan negeri mempromosi produknya.
“Dalam sudut nasional bidang pelancongan akan memberi suntikan tunai kepada ekonomi negara dan atas sebab itulah kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada sektor ini,” kata Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan.
Turut berkongsi keyakinan sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan Pahang ‘bertuah’ kerana mempunyai diversiti yang meluas dalam produk pelancongan seperti tanah tinggi, pantai, pulau dan Taman Negara.
“Sebagai anak Perak, negeri berjiran dengan Pahang, saya masih ingat memori ketika dibawa ayah melawat Cameron Highlands. Udaranya sangat nyaman dan dingin,” katanya berkongsi pengalaman melawat negeri terbesar di Semenanjung Malaysia itu menerusi rakaman video yang ditayangkan pada majlis itu.
Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memberi jaminan komitmen kementerian itu untuk membantu menjayakan TMP 2017.
“Bukan hanya ada alam semulajadi yang masih terpelihara tapi (Pahang) juga ada makanan yang sangat popular seperti ikan patin dan durian. Pahang ada semua tarikan. Hogoh Pahang Hogoh!“ katanya sambil melaung slogan TMP2017.
Sementara itu, Adnan dalam ucapannya mengharapkan TMP2017 akan memulakan momentum baharu dalam sektor pelancongan di Pahang yang boleh diperbaiki meskipun negeri ini menerima kehadiran pelancong yang ramai iaitu lebih 12 juta pada tahun lalu dan 10 juta pada tahun sebelumnya.
“Kita memang mempunyai banyak produk pelancongan tetapi ia mestilah diselenggara untuk bersaing (dengan negeri lain) dan perlu dipromosikan. Ini yang kita agak ke belakang kerana kekangan kewangan.
“Tapi patik harap dengan pengisyiharan ini, kami boleh menjadikan sektor pelancongan lebih menarik kerana rakyat akan mendapat banyak faedah, bukan hanya pengusaha pelancongan atau penginapan, tetapi juga mereka yang terlibat dengan kedai makan dan bengkel,” katanya. – BERNAMA