NEW YORK CITY – Barisan pelakon terkenal bersama ribuan peserta berkumpul di sini bagi mengambil bahagian dalam bantahan terhadap Donald Trump, kurang 24 jam sebelum beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-45.
Barisan pelakon termasuk Robert de Niro dan Alec Baldwin selain pengarah Michael Moore dan penyanyi Cher dipercayai antara 20,000 hingga 25,000 orang kini berada di luar Trump International Hotel and Tower.
Menurut laporan stesen televisyen WABC-TV New York, bantahan We Stand United #NYC yang sedang berlangsung bermula kira-kira 6 petang Khamis waktu tempatan (7 pagi Jumaat waktu Malaysia).
Selain barisan pelakon, organisasi seperti MoveOn.org, Greenpeace AS dan Planned Parethood turut mengambil bahagian dalam bantahan untuk menekankan kepada pentadbiran baharu serta Kongres AS bahawa “penduduk New York akan terus melindungi rakyat dan alam sekitar.”
Sementara itu, Trump yang sudah tiba di Washington DC untuk pelantikannya, lewat Khamis memberitahu rakyatnya yang dia akan menyatukan negara selepas pilihan raya, November lalu.
“Kami akan melakukan perkara yang tidak dilakukan untuk negara dalam tempoh beberapa dekad. Ia akan berubah. Saya berjanji kepada anda,” katanya selepas konsert pra-perasmian di Washington, DC.
Trump akan mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-45 menggantikan Barack Obama dalam majlis pada 11.30 pagi Jumaat waktu tempatan (12.30 tengah malam Sabtu waktu Malaysia). – Agensi/myMetro Online