SEJAK kebelakangan ini, banyak cerita mengenai pasangan selebriti tempatan mengalami pergolakan dalam rumah tangga.
Terbaharu kisah pelakon Hanez Suraya dikatakan menfailkan permohonan cerai terhadap suaminya Romie Razin hangat diperkatakan oleh media tempatan.
Walau bagaimanapun, Hanez tampil menegaskan bahawa rumah tangganya dan suami baik-baik sahaja.
Selain itu, laman sosial juga turut dikejutkan dengan keretakan rumah tangga anak chef selebriti terkenal Datuk Chef Wan iaitu Serina Redzuawan dilaporkan telah pergi ke mahkamah syariah.
Namun Serina enggan mengulas dakwaan itu dan akan memperjelaskan isu tersebut bila tiba waktunya nanti.
Penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza meskipun baru sedekad mendirikan rumah tangga, namun dia tidak lokek berkongsi petua yang diamalkannya dalam menjaga keharmonian rumah tangga bersama suami tercinta Datuk Seri Khalid atau Datuk K.
Katanya, salah seorang perlu beralah dan bertolak ansur sekiranya berlaku pertengkaran dan cuba menyelesaikan masalah yang timbul sebelum tidur.
“Mungkin sebab cara kita orang, Allah hadirkan pasangan itu ada panas dan sejuk, bila suami marah saya pula kenalah berlembut dan tunggu masa yang sesuai. Jadi taklah dia meletup.
“Suami saya ini jenis yang tidak suka berpanjangan. Oleh itu kami akan selesaikan secepat mungkin sebelum tidur,” ujarnya kepada Media Hiburan.
Itulah petua yang diamalkan oleh Siti dan suami, namun begitu, lain orang lain pula tipsnya dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga masing-masing.
Meskipun pasangan ini belum dikurniakan cahaya mata sendiri, namun persefahaman yang dipupuk menjadikan mereka pasangan yang bahagia dalam melayari hari-hari bergelar suami isteri. – MYNEWSHUB.CC