AWAS… Satu kumpulan aneh memberi amaran bersedia menyembur cat aerosol terhadap wanita India yang dianggap berpakaian ‘tidak sesuai’ dalam perayaan Thaipusam pada 9 Februari depan.
Mereka yang menamakan diri sebagai ‘Thaipusam Spraying Group‘ turut memuat naik menerusi Facebook sejak awal bulan ini berhubung contoh beberapa pakaian sari yang mesti dielakkan daripada menjadi mangsa semburan.
Menurut laporan sebuah portal berita tempatan, setakat ini laman sosial kumpulan antipakaian seksi tersebut sudah mempunyai kira-kira 143 anggota. Ia mula diasaskan oleh seorang individu yang bernama Henry Barnabas.
Dalam Facebook mereka sendiri, Barnabas menjelaskan bahawa kumpulan konservatif tersebut ditubuhkan bagi mempertahankan fundamental upacara agama Hindu dan warisan kebudayaan masyarakat India turun-temurun
“Marilah kita menyebarkan mesej positif melalui kumpulan ini, supaya kita boleh mendapat banyak maklumat dan menghormati makna sebenar sambutan perayaan Thaipusam,” catat beliau yang dipetik oleh akhbar The Star.
Barnabas kemudian menambah: “Ramai anak muda Hindu sekarang tidak tahu sejarah silam. Thaipusam bagi mereka hanya penuh glamor, menari dengan iringian bunyi urumi melam (paluan gendang) dan sebagainya.
“Marilah kita memberi kesedaran semula kepada generasi muda dan yang akan datang,” tulisnya. Beliau juga menyalahkan wanita India yang berpakaian sari agak seksi tersebut sebagai “berkelakuan seperti pelacur”.
Amaran kumpulan tersebut turut dikongsi oleh sebuah laman Facebook popular lain “Unnekku 7.30 Arambam” yang mempunyai lebih 41,000 pengikut selain dikongsi lebih 1,400 kali menerusi pelbagai akaun Facebook lain.
Rata-rata pengguna maya mengutuk ancaman pelik ‘Thaipusam Spraying Group‘ itu malah beberapa organisasi Hindu tempatan turut membidas amaran lucu tersebut sebagai tidak menghormati hak kebebasan wanita India.
“Ini salah. Daripada beli tin cat, lebih baik beli selendang bagi wanita tutup badan,” komen netizen. Terdapat juga pihak yang mahu buat laporan polis berkaitan isu itu dan menganggapnya sebagai ancaman gangguan seksual.
Ramai pengguna media sosial juga mempersoalkan kenapa acara sembur cat itu tidak dibuat terhadap golongan lelaki yang mabuk dan memakai seluar jeans pendek berbanding pakaian tradisional ketika perayaan Thaipusam.
Bagaimanapun salah seorang ahli lembaga penasihat agama badan Hindu Sangam, Dr. Thilagavathy Kanagaretnam menyatakan wanita yang menyertai perarakan Thaipusam harus berpakaian sopan dan bukan menayangkan tubuh.
Meskipun tidak bersetuju dengan tindakan keras Thaipusam Spraying Group, beliau menegaskan adalah lebih baik memakai blaus sari ketika berada dalam kuil tanpa perlu dipaksa secara kasar. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA