KUALA PILAH – Seorang penuntut Kolej Vokasional Juasseh maut manakala tiga rakannya parah apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan van Jabatan Bomba dan Penyelamat di Jalan Kuala Pilah-Bahau, pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 7.55 pagi berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jemapoh itu, mangsa Mohd Fauzi Mohammad Ali maut di tempat kejadian manakala Muhd Fauzan Mohd Salam, (pemandu), Muhammad Haidir Hamzah dan Aidil Shamsudin yang semuanya berusia 18 tahun, parah.
Ketujuh-tujuh anggota bomba dan penyelamat Jempol yang menaiki van tersebut turut cedera termasuk dua yang parah.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, di sini dan mangsa yang cedera juga dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Haslah Bachok berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Muhd Fauzan yang datang dari arah Pilah cuba memotong kenderaan lain tetapi gagal.
“Kenderaan tersebut kemudiannya bertembung dengan van yang dinaiki anggota bomba yang datang dari arah Batu Kikir, mengakibatkan Mohd Fauzi maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Haslah, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Hamizan Jaafar berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.58 pagi dan sampai ke lokasi kemalangan dengan kekuatan satu jentera dan tujuh anggota, 10 minit kemudian.
“Semua mangsa yang cedera dikeluarkan orang awam. Kami mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan seorang anggota bomba yang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan,” katanya.
Difahamkan kesemua anggota bomba terbabit dikatakan dalam perjalanan ke Seremban 2 untuk menyertai acara futsal. – BERNAMA