KUALA LUMPUR – Penjaga gol, Nasril Nourdin mengakui tergamam ketika sepakan percuma yang dilakukan finalis Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Mohd Faiz Subri menerjah jaringnya.
Jaringan yang disifatkan ‘melanggar hukum fizik’ itu dilakukan Mohd Faiz ketika membantu pasukannya Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Feb tahun lepas.
Nasril yang kini bermain untuk Perlis berkata beliau berada di posisi yang tepat dan telah bersedia untuk menangkap bola tersebut sebelum ia secara tiba-tiba bertukar arah, membuatkan beliau terpaku.
“Saya sudah berada dalam kedudukan yang betul untuk menangkap bola itu tetapi entah bagaimana dalam sekelip mata bola itu bertukar arah dan menjunam di sebelah kiri gawang.
“Sepakan itu memang sesuatu yang menakjubkan kerana sepanjang karier saya belum pernah saya melalui situasi seperti itu. Saya yakin jaringan tersebut mampu memenangi Anugerah Puskas itu nanti,” katanya kepada Bernama di sini.
FIFA menerusi laman web rasminya, www.fifa.com pada Disember lepas mengumumkan jaringan ‘ajaib’ Mohd Faiz tersenarai dalam tiga jaringan terbaik dunia untuk Anugerah Puskas 2016.
Setakat 6 petang ini, video jaringan Mohd Faiz yang pertama kali dimuat naik oleh FIFATV di laman YouTube pada 21 Nov lepas telah ditonton 2,240,141 pelayar seluruh dunia.
Jumlah tontonan tersebut jauh meninggalkan dua pesaing utama anugerah berkenaan iaitu Jonath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil (1,395,351 tontonan) dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela (1,089,102 tontonan).
Peminat bola sepak tempatan masih berpeluang mengundi jaringan Mohd Faiz melalui laman web rasmi FIFA, www.fifa.com sebelum pemenang diumumkan pada Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich, Switzerland pada 9 Jan ini berdasarkan undian peminat seluruh dunia. – BERNAMA