KEJUTAN… Tentu pendengar radio Hot FM terperanjat dan terkesima pagi ini apabila mendengar suara penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menjadi deejay radio tersebut.
Ada yang menganggap penyanyi nombor satu negara itu sedang cuba mengasah bakat menjadi juruhebah radio di stesen popular milik rangkaian Media Prima Berhad tersebut.
Namun, kehadiran penyanyi itu di konti radio tersebut adalah sebagai mengendalikan slot Datuk Siti Nurhaliza Take Over atau #CTTakeOverHot selama dua jam mulai 10 pagi Rabu.
Ini sebagai meraikan ulang tahun kelahiran ke-38 beliau pada hari ini, sekali gus memberi peluang buat pendengar dan peminat untuk mendengar rangkaian lagu Aku Cinta Padamu itu serta kisah pembabitannya dalam dunia seni.
Memulakan segmen tersebut dengan lagu Jerat Percintaan, Siti Nurhaliza turut berkongsi kenangan terindahnya apabila memenangi 250 anugerah selama 20 tahun menjadi penghibur.
“Anugerah yang diterima lebih kepada pemberi semangat kerana ia bukan mudah untuk dikekalkan.
“Siti anggap ia permulaan baharu dan peluang memperbaiki kekurangan diri. Kesetiaan dan kepercayaan peminat adalah suatu amanah buat saya,” katanya ketika bersiaran.
Netizen menerima baik cubaan Siti Nurhaliza menjadi penyampai radio dan ada yang tidak puas mendengar beliau mengendalikan program tersebut.
Menerusi laman Facebook Hot FM, peminat dan keluarga turut mengucapkan selamat hari lahir kepada beliau dan mendoakan kebahagiannya.
Sebelum ini pada 2014, Siti Nurhaliza dijemput sebagai tetamu bagi segmen Agenda Awani untuk menjadi pembaca berita dan beliau berjaya melakukannya dengan baik. – MYNEWSHUB.CC