KUALA LUMPUR – Struktur terkini ekonomi Malaysia begitu meluas dan cukup pelbagai, dengan sumbangan gabungan komponen pertanian dan perlombongan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) merosot di bawah 20 peratus, manakala sektor perkhidmatan meningkat melebihi 50 peratus.
Sebaliknya, ekonomi Tanah Melayu pada abad yang lalu sebahagian besarnya berasaskan pertanian, disokong oleh dua komponen utama – bijih timah dan getah, dihasilkan untuk memenuhi keperluan industri dan penduduk di Eropah dan Amerika Utara berikutan revolusi perindustrian mereka.
Maklumat ini dikongsi oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dalam buku baginda bertajuk ‘Charting the Economy, Early 20th Century Malaya and Contemporary Malaysian Contrasts’.
Buku berkulit tebal yang dilancarkan Sultan Nazrin sendiri di sini hari ini, mengisahkan perjalanan ekonomi Malaya yang bergantung kepada komoditi sepanjang 40 tahun pertama abad ke-20 semasa pemerintahan kolonial British, yang jauh berbeza dengan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan dalam Malaysia kontemporari.
Sultan Nazrin menyerahkan naskah pertama buku tersebut, yang diterbitkan oleh Oxford University Press kepada penasihat PhD baginda di Harvard University, Prof Dwight H. Perkins.
Ia bertanyakan: Apakah legasi ekonomi penjajahan British di Semenanjung Tanah Melayu, dan sejauh mana bezanya prestasi ekonomi di bawah pengurusan nasional?
Berdasarkan anggaran KDNK Malaya dan komponen antara 1900-1939, dan menganalisis trend dan saling hubungan mereka, ia memperkukuhkan pemahaman dinamik mengenai prestasi ekonomi sepanjang empat dekad terbabit.
Buku ini memaparkan mengenai pembangunan ekonomi negara pada awal abad ke-20 (Bab 2), yang berkait rapat dengan dinamik penduduk.
“Industri perlombongan bijih timah dan getah (sebelum pengenalan teknologi baharu) berintensifkan tenaga kerja yang ramai dan pembangunan tidak dapat berkekalan menerusi bekalan tenaga kerja tempatan.
“Aliran masuk besar pekerja asing diambil dari China dan India yang menyebabkan jumlah penduduk kedua-dua masyarakat itu meningkat dengan ketara,” kata baginda.
Menurut buku itu, sebahagian besar penduduk China tertarik dengan pembangunan bandar-bandar baharu di persekitaran kawasan lombong bijih timah dan ke bandar-bandar pelabuhan, manakala orang India kebanyakannya tinggal dan bekerja di ladang-ladang getah.
Penghijrahan telah mengubah komposisi etnik Semenanjung.
Daripada pemerintahan kolonial, Malaya kemudian beralih kepada pengurusan ekonomi nasional (Bab 6), dan menerima pakai sistem ekonomi ‘laissez-faire’.
Ini menurut buku itu, memberikan syarikat perlombongan dan perladangan swasta yang dikuasai British, bank-bank dan orang tengah – penguasaan penuh untuk memaksimumkan keuntungan, dan mewujudkan persekitaran sokongan perundangan dan institusi.
Amalan Laissez-faire membawa kepada pembangunan yang secara ketaranya tidak sekata, dengan pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran tertumpu yang memberi manfaat kepada negeri-negeri di Barat Semenanjung.
Amalan ini juga membawa kepada tahap ketidaksaksamaan dalam pemilikan dan kawalan ekonomi.
Dasar Ekonomi Baru dilancarkan oleh kerajaan pada 1971, susulan pergaduhan kaum pada Mei 1969, bagi membetulkan ketidaksaksamaan era penjajah.
“Syarikat asing berasaskan sumber alam disusun semula menerusi pembelian semula ekuiti oleh perusahaan sektor awam dan pada peringkat awalnya diletakkan di bawah kawalan dan pengurusan kerajaan.
“Pendapatan sumber digunakan untuk mengagihkan semula pendapatan dan mengurangkan kemiskinan melalui pelbagai saluran,” katanya.
Kawalan nasional ke atas pengurusan ekonomi diperkukuh dengan wawasan jangka panjang bagi mewujudkan negara yang bersatu dan adil, yang membawa kepada rekod mengagumkan dalam pewujudkan peluang pekerjaan, manfaat kebajikan dan pembasmian kemiskinan. – BERNAMA