Sunday, October 27, 2024

Creating liberating content

23,808 Anak Penyu Dilepaskan...

SANDAKAN - Pusat Penetasan Telur Penyu di Pulau Libaran berjaya memungut 30,860 telur...

Malaysia Akan Promosi Produk...

KUALA LUMPUR - Malaysia merancang mengembangkan pasaran halalnya ke negara-negara Perkongsian Trans-Pasifik (TPP)...

Rusia Siap Bangun Peluru...

MOSCOW - Presiden Vladimir Putin, hari ini, berkata, Rusia akan mula menggunakan peluru...

11 Orang Dikhuatiri Maut...

MIAMI - Seramai 11 askar marin dan empat anak kapal dipercayai hilang dan...

Tahun Baru Cina: Raikan Perbezaan Dan Persaudaraan

KUALA LUMPUR – Bagi anggota masyarakat Cina yang telah memeluk Islam, bangsa dan adat resam asal tetap sebahagian besar identiti mereka.

Mungkin ramai tertanya bagaimana keluarga Cina dengan ahli berbilang agama menyambut Tahun Baru Cina memandangkan masing-masing punyai tuntutan agama yang harus dipatuhi.

Muhammad Adrian Wong, 38, dari Klang, memberitahu Bernama ianya tidaklah sesukar mana, asalkan pandai menyesuaikan diri dan menerima perbezaan masing-masing.

MENYAMBUT BERSAMA-SAMA

Acara “makan besar” Tahun Baru Cina yang diadakan pada malam sebelum hari sambutan itu dianggap acara terpenting perayaan itu.

Inilah masanya keluarga serta sanak-saudara pulang dari segenap pelosok dunia untuk berhimpun semeja sambil menikmati juadah yang disediakan serta mengeratkan talian persaudaraan.

Acara yang sedemikian besar tentu sahaja memerlukan lokasi yang sesuai serta persediaan rapi. Kebanyakan restoran Cina sedia maklum tentang keperluan sedemikian dan dapat menyediakannya.

Kerana itulah Adrian kadangkala masih meraikan ‘makan besar’ Tahun Baru Cina bersama keluarganya di restoran Cina yang menyediakan makanan tidak halal walaupun telah memeluk Islam.

Ianya tidak menjadi isu kepada Adrian dan isterinya kerana mereka akan menyediakan santapan halal dari rumah untuk dimakan ketika acara itu.

Keluarganya bukan tidak pernah cuba meraikan acara itu di restoran makanan halal.

“Pernah pada satu tahun itu, kami 26 orang sekeluarga cuba meraikan makan besar di sebuah restoran Minang. Memang tidak dapat duduk semeja!” ceritanya tersenyum.

Namun sejak kebelakangan ini, Adrian dan isterinya sudah tidak perlu membawa makanan dari rumah kerana ibunya akan menyediakan makanan halal untuk mereka.

Keluarganya juga peka tentang tuntutan agama Islam lain seperti solat lima waktu sehari.

“Pada mulanya, agak sukar mencari ruang untuk solat Maghrib kerana orang Cina biasanya mula makan malam sekitar pukul 7-7.30 malam.

“Tetapi hari ini saya tidak perlu risau lagi kerana keluarga saya akan memulakan makan malam selepas 8 malam kerana mereka faham waktu untuk mengerjakan solat Maghrib itu pendek. Alhamdulillah,” kongsi beliau.

MENGENALI BUDAYA LAIN

Adrian memeluk Islam pada Mei 2007 dan mengahwini Siti Nurzaini Yahya sebulan kemudian.

Beliau faham Islam tidak menuntut seseorang itu meninggalkan bangsa, keluarga mahupun budayanya, namun sedar tidak semua berfikiran sedemikian.

Masih segar diingatan kekeliruan keluarganya sendiri ketika beliau mula-mula memeluk Islam.

“Nenek saya ingat saya sudah ‘masuk Melayu’,” katanya.

Beliau menggambarkan sambutan Tahun Baru Cina yang pertama bersama isterinya sebagai sedikit kekok.


“Para sepupu serta saudara-mara berkelakuan canggung dan kadangkala hanya merenung kami. Ada yang bertanyakan pelbagai soalan mengenai sambutan Tahun Baru Cina sebagai seorang Melayu. Memang menggelikan hati.

“Namun isteri saya agak teruja dapat berkongsi budaya dengan mereka. Di samping itu, saya dan isteri tidak perlu bergaduh hendak balik kampung mana untuk Hari Raya setiap tahun!” katanya tertawa.

Bagaimana pun bagi Siti Nurzaini, 38, memori sambutan Tahun Baru Cina pertama beliau tidaklah seperti yang digambarkan suaminya.

“Seingat saya, tidaklah secanggung mana pun. Yang saya ingat, perasaan ingin tahu tentang acara makan besar dan keterujaan saya untuk menghadirinya.

“Selain itu, saya sedikit gusar kerana takut berbuat sesuatu yang menyalahi adat dan menyinggung perasaan ahli keluarganya, tapi rasanya saya tidak berbuat sedemikian kerana Adrian telah menjelaskan kepada saya tentang adat serta pantang larang sebelum majlis bermula,” katanya yang berasal dari Kota Bharu.

Beliau turut mengenang usaha keluarga Adrian yang bersusah-payah menyediakan santapan halal di meja berasingan kerana bimbang beliau akan rasa kurang selesa berhadapan dengan makanan tidak halal. Di samping itu, mereka turut memberikan penjelasan terperinci tentang setiap juadah yang disediakan serta kandungannya.

“Memang rasa serba salah melihat betapa mereka berusaha untuk memudahkan saya dan Adrian. Tetapi hari ini, keluarganya lebih santai ketika sambutan Tahun Baru Cina kerana masing-masing sudah maklum keperluan yang lain,” katanya.

MENYESUAIKAN DIRI

Pada mulanya, keluarga Adrian bimbang akan menjadi sukar baginya untuk mengamalkan tuntutan agama Islam.

“Pada mulanya memang agak sukar. Bayangkan, sebelum itu sebagai seorang Cina (bukan Islam) saya boleh makan apa saja makhluk hidup yang berkaki empat!” katanya sambil ketawa.

Yang paling dirinduinya ialah “bak-kwa”, sejenis daging kering yang manis dan masin yang biasanya diperbuat daripada daging khinzir.

“Makanan adalah sesuatu yang sangat penting bagi kami orang Cina. Tetapi kini saya mengamalkan diet berlainan yang termasuk makanan vegetarian dan juadah Cina halal dari China,” katanya.

MENGERATKAN HUBUNGAN KELUARGA

Tahun ini, pasangan itu dan dua anak mereka menyambut Tahun Baru Cina di Sentul yang merupakan tempat tinggal nenek Adrian yang berusia 92 tahun.

Adrian bersyukur mendapat keluarga dapat menerima pilihannya dengan kasih sayang, di samping mendapat mertua yang rapat dengan ibu bapanya.

“Mereka saling menyampaikan ucapan keraian ketika sambutan perayaan serta hari jadi. Kadangkala, saya berperanan sebagai orang tengah yang menghadiahkan anak pokok seperti pisang dan lemon dari kampung isteri saya di Kota Bharu,” katanya.

Sebagai seorang Cina Muslim, beliau berharap masa-masa yang akan datang akan membawa lebih perpaduan bukan sahaja kepada keluarganya tetapi juga kepada negara dan seluruh dunia.

“Kita semua unik dan berlainan, tetapi kita semua sebangsa – bangsa manusia. Oleh itu daripada membeza-bezakan, lebih elok kita cari perasamaan dan meraikan perbezaan.” – BERNAMA

Kategori